Kurangnya Aku, Lebihnya Mereka




Irasshaimase!” Kedatangan kami ke restoran berasakan seafood itu disambut dengan sapaan mesra dari penjaga kaunter. Senyuman sopan dihadiahkan sambil tangan menghulurkan menu kepada kami. Mata kami jatuh pada hidangan nasi dan tempura yang nampak sangat menyelerakan. Harga-harganya pun sangat berpatutan.

Saya menghulurkan sekeping kad kepada si pelayan. Di atas kad itu, tertera tulisan jepun yang menyenaraikan bahan yang tidak boleh dimakan oleh orang islam. Di jepun, sukar untuk menjumpai makanan halal. Ada sesetengah pelancong yang mengambil jalan mudah dengan menganggap semua makanan berasaskan seafood ialah halal. Padahal tidak semestinya.

Pelayan tersebut diam sambil membaca satu per satu tulisan yang tertera. Seketika, tangannya menarik keluar sebuah buku tebal. Rupa-rupanya buku itu penuh dengan resepi setiap hidangan mereka!

Chotto matte kudasai.” Ujarnya sambil mata tak lepas beralih dari kad ke menu ke buku resepi dan kembali ke kad semula.

“These two..” Tangannya menuding jari ke dua hidangan. “Okay..” Dia membuat isyarat okay. “Others.. not okay.”

Daripada berbelas menu yang ada, cuma dua yang ternyata boleh dimakan. Dia menerangkan bersungguh-sungguh dalam bahasa Jepun dengan menggunakan gerak tangan bahawa makanan yang lain dicampur dengan sedikit arak atau dimasak dengan rebusan air daging khinzir.

Shibarakuomachikudasai.” Dia tiba-tiba meminta diri sebentar. Tubuhnya hilang di balik dinding bersama buku menu di tangan. Seketika muncul chef restaurant bersama lelaki itu dan mereka bercakap-cakap dalam bahasa Jepun.

Sumimasen.” Pelayan itu menunduk berkali-kali. “We used the same tools to cook those two.” Rupa-rupanya dia meminta kepastian daripada tukang masak tentang dua makanan itu tanpa kami pinta.

Sumimasen deshita.
Suaranya penuh rasa bersalah sampai kami yang jadi serba salah. Hati tersentuh dengan kesungguhan pelayan restoran itu. Sudahlah sanggup meluangkan masa yang lama untuk cek satu per satu bahan dalam setiap masakan, kemudian dia panggil pula chef untuk kepastian!

Malu sebab kadang kita yang Muslim pun tidak bersungguh seperti itu dalam menjaga pemakanan kita :")

************

Walaupun malam sudah semakin pekat, kota Akihabara masih meriah dengan bermacam jenis manusia. Kami menghabiskan masa di Yodobashi Camera, salah satu kedai elektronik gergasi di bandar itu.

Irasshaimase!” Di hadapan escalator di setiap tingkat, kami akan disapa ramah dengan pekerja yang siap menunggu sambil menundukkan badannya.

Semasa hendak turun ke tingkat satu, escalator untuk turun rosak. Kami terkejut bila pekerja-pekerja kedai tersebut berbaris di tepi escalator dan ramai-ramai menundukkan badan sambil berkata “Sumimasen” kepada setiap orang yang turun dari escalator itu. Di tingkat atas pula, ada pekerja yang sudah menunggu dan memesan “Please be careful and watch your step. Sorry for the inconvenience.” kepada kami. Satu hal yang tak pernah kami jumpa di tempat lain!

Satu hal yang seronok bila membeli belah di Jepun, pembeli dilayan bagai tuan puteri. Pekerja kaunter contohnya. Mereka akan berbual mesra dengan pelanggan sambil tangan lincah membungkus barang yang dibeli. Balutan mereka sangat kemas. Barang pula diurus dengan begitu cermat dan berhati-hati. Senyum tak lekang di wajah mereka. Dan semasa memulangkan baki, mereka akan susun elok-elok duit dalam bakul wang dan kira satu per satu di hadapan kita. Kemudian, selepas selesai baki duit dikutip, mereka akan mengucapkan terima kasih sambil menundukkan badan. Kadang bukan pekerja kaunter yang kita pergi sahaja berbuat begitu, pekerja-pekerja lain di kaunter sebelah turut menunduk pada kita dan mengucapkan terima kasih.

Budaya bersungguh-sungguh dan all out Japanese ini bukan sahaja dapat saya lihat di kedai-kedai, malah juga semasa menaiki tren. Saya ingat lagi semasa di Yamanashi, berhentilah di stesen mana-mana pun akan ada pegawai yang tunggu di pintu keluar stesen untuk mengucapkan arigatou gozaimasu kepada SETIAP orang yang menaiki tren. Dan semasa dalam tren, kadang ada pegawai yang akan berdiri di hadapan pintu yang memisahkan coach dan menundukkan badan sambil mengatakan “Thank you for using our service. Sorry if there is any inconvenience.”

Contoh lain, semasa di Haneda Airport. Semasa sedang berehat-rehat menunggu matahari terbit sambil memakan Maggie Cup, seorang polis menegur kami. Rasa cuak kut2 lah ada buat salah tapi rupa-rupanya dia ingin bertanya jika kami ada tertinggal barang berharga atau wang di prayer room. Dan polis itu rupa-rupanyanya menegur setiap orang yang kelihatan seperti muslim semata-mata untuk mencari pemilik wang tu! 

Teringat pula pada ojiisan yang menjaga kaunter pertanyaan di Ice Festival Lake Sai. Sebab kami tidak boleh memahami bahasa Jepun yang dituturkannya, dengan kaki yang tempang, dia beria-ria nak tunjukkan kami jalan ke tapak festival. Langkahnya perlahan dan berdengkot-dengkot tapi walaupun berkali-kali kami menolak, dia tetap bersungguh untuk tunjukkan jalan sampailah ke destinasi.

"Malu saya dengan pak cik tu." Kata salah seorang sahabat travel saya.
Saya hanya mengangguk-angguk.

Rasa malu bila compare dengan diri sendiri yang suka buat kerja tangkap muat atau kata orang Melayu, seperti melepaskan batuk di tangga. Kadang saya mengharapkan outcome yang luar biasa, tapi usaha cuma biasa-biasa. Nak dapat markah tinggi dalam assignment, tapi buat kerja last minute. Study pun masih belum capai tahap sehabis usaha tapi bermimpikan pointer tinggi. *kesat air mata *

Sepatutnya, saya kena contohi pak cik2 tua itu. Saya teringat kata-kata seorang senior masa kat DQ dulu. “Kalau kita belajar or buat apa-apa kerja kerana Allah, bukan patutnya kita kena berikan yang terbaik?”

Dush. Rasa malu dengan diri sendiri sebab rasa diri masih jauh dari skala 'terbaik' dalam berusaha.

Kembara kali ini mengajar saya tentang kesungguhan. Sesuatu yang saya masih kurang.

Bukan sahaja dalam belajar, tapi jugak dalam berpesatuan, dalam bergerak kerja, dalam memberi bantuan or dalam apa-apa sahaja yang saya buat.

Berbuat yang terbaik itu sememangnya tugas manusia.

Tapi kadang manusia sibuk mengambil tugas Tuhan. Iaitu dalam menentukan hasilnya.

Jom sama-sama top up bank usaha kita^^ Memberikan yang terbaik dalam apa jua hal, dan menggenapkan upaya dengan doa dan berserah kepada-Nya.

Moga-moga segala upaya kita tinggi nilai di sisi-Nya.

Ganbatte!

“Sesungguhnya Allah menyukai seseorang jika apabila kamu melakukan sesuatu tugasan, maka kamu akan melakukannya dengan itqan (tekun/rajin) ”(Kanz al-‘Ummal, Kitab al-Ijarah min Qism al-Awqal. Dar al-Fikr, No. 9128)

Comments

Popular Posts